KIRA-KIRA 40 ekor buaya membaham seorang lelaki Kemboja sehingga maut pada Jumaat selepas dia terjatuh ke dalam kandang di ladang reptilia keluarganya, kata polis.
Lelaki berusia 72 tahun itu cuba mengeluarkan seekor buaya dari sangkar tempat ia bertelur apabila ia mencengkam kayu yang digunakannya sebagai pendorong dan menariknya masuk.
Kumpulan reptilia itu kemudian mengepungnya, mengoyakkan tubuhnya dan menyebabkan kandang konkrit di ladang di Siem Reap berlumuran darah.
“Ketika dia mengejar seekor buaya keluar dari sangkar bertelur, buaya itu menyerang kayu itu, menyebabkan dia terjatuh ke dalam kandang,” kata ketua polis Siem Reap, Mey Savry, kepada AFP.
“Kemudian buaya lain menerkam, menyerangnya sehingga dia mati,” katanya sambil menegaskan mayat lelaki itu dipenuhi dengan kesan gigitan.
Beliau berkata satu lengan lelaki itu digigit dan ditelan buaya.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dibunuh dan dimakan buaya pada 2019 apabila dia merayau ke ladang reptilia keluarganya di kampung sama, kata ketua polis.
Terdapat beberapa ladang buaya di sekitar Siem Reap, bandar pintu masuk ke runtuhan terkenal Angkor Wat.
Reptilia itu dipelihara untuk telur, kulit dan dagingnya. – AFP, 26 Mei, 2023.
Komen