TIADA logo Umno atau DAP akan dipaparkan dalam kertas undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang, kata ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, hanya dua parti utama yang diputuskan akan bertanding pada PRN itu nanti, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), bagi menentang Perikatan Nasional (PN).
“Saya hanya nak beri kefahaman kepada pengundi di luar sana tiada logo Umno atau logo DAP dalam PRN ini, kerana kita bertanding itu berkumpulan dalam parti kerajaan perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan dokumen piawaian pelaburan mampan (SIS) di Putrajaya hari ini.
Ahmad sebelum ini dilaporkan meminta ahli Umno mengundi calon DAP di kawasan masing-masing pada PRN akan datang sekali gus mampu mengukuhkan kerajaan perpaduan.
Enam negeri yang bakal mengadakan PRN adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. – Bernama, 26 Mei, 2023.
Komen