Pendakwaan mohon semua kes Muhyiddin dibicara bersama


Pihak pendakwaan memohon tujuh kes menggunakan kedudukan untuk suapan dan menerima wang hasil aktiviti haram yang dihadapi Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei 2023.

PIHAK pendakwaan memohon supaya tujuh kes menggunakan kedudukan untuk suapan dan menerima wang hasil aktiviti haram yang dihadapi bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada Hakim Azura Alwi bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan itu semalam, dan telah menyerahkan permohonan kepada pihak pembelaan hari ini.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin berkata pihaknya mengesahkan telah menerima permohonan itu, namun memerlukan masa untuk menjawab permohonan berkenaan.

Azura kemudian mengarahkan pihak pembelaan menjawab permohonan itu pada atau sebelum 30 Jun manakala pendakwaan perlu memfailkan afidavit balasan pada atau sebelum 14 Julai ini.

Terdahulu TPR Ahmad Akram Gharib berkata Muhyiddin sebelum ini didakwa atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram di Mahkamah Shah Alam dan kes berkenaan dipindahkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau kemudian memohon pertuduhan dibacakan di hadapan Azura, dan Muhyiddin yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan, memohon kes itu dibicarakan.

Sementara itu, Wan Shaharuddin berkata pihaknya telah menyerahkan separuh dokumen berkaitan kesemua kes itu kepada pihak pembelaan hari ini dan perkara itu disahkan Hisyam.

“Pihak pembelaan juga memfailkan tiga permohonan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi manakala satu permohonan untuk membatalkan pertuduhan dihadapi tertuduh. Sehubungan itu, pihak kami memohon tarikh sebutan pada 4 Ogos ini bagi menyerahkan baki dokumen,” katanya. 

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Ogos untuk sebutan kes.

Pada 10 Mac lepas, Muhyiddin, 76, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta.

Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di Kuala Lumpur, antara 25 Februari 2021 dan 16 Julai 2021, 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Pada 13 Mac lepas pula, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya pada 7 Januari 2022.

Muhyiddin memfailkan permohonan untuk membatalkan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu pada 18 April lepas.

Pada 27 April, Muhyiddin memfailkan permohonan untuk memindahkan kesemua kesnya ke Mahkamah Tinggi kerana kes itu melibatkan persoalan undang-undang yang kompleks membabitkan Perlembagaan Persekutuan. – Bernama, 26 Mei 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen