Kacau bilau di Felda


Amin Iskandar

FGV tiada masalah beri kerjasama sekiranya SPRM mahu menyiasat, kata Isa Samad hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Jun, 2017.

DI Malaysia, seringkali khabar angin yang bertiup ada benarnya.

Begitulah yang berlaku di Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) apabila bisik-bisik yang bertiup kencang selama ini mengenai situasi sukar syarikat itu terbukti dengan berita yang mengatakan CEO kumpulan itu dipaksa bercuti dan seorang lagi bekas pegawai kanan sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Hari ini, Presiden Kumpulan FGV dan CEO Zakaria Ahmad serta ketua pegawai kewangan (CFO) Ahmad Tifli Mohd Talha diarahkan bercuti serta merta.

Pengerusinya Isa Samad yang mengadakan sidang akhbar tengahari ini berkata FGV akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sekiranya agensi pencegah korupsi negara itu memutuskan untuk melakukan siasatan.

“Terserah kepada SPRM. Dia nak masuk, masuklah, kita tiada masalah,” kata Isa pada satu sidang media di Menara Felda di Kuala Lumpur hari ini.

“Buat masa ini, hanya Internal Audit (IA) sahaja yang melakukan siasatan.”

Sebelum ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Zakaria Arshad yang diarahkan bercuti menggesa SPRM campurtangan.

“Saya juga bersedia untuk disiasat dan mengesyorkan SPRM datang menyiasat FGV supaya senang membuktikan jika ada apa-apa perkara yang tidak baik berlaku dalam FGV.

“SPRM boleh menyiasat saya atau pengurusan dan peringkat tertinggi pengurusan atasan untuk mendapatkan bukti yang sahih.

“Dengan ini, semua boleh mencapai keadilan,” kata Zakaria seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Isa berkata, syarikat tidak akan menghalang jika agensi itu mahu masuk dan menyiasat urus niaga FGV, khususnya membabitkan urus niaga antara Delima Oil Products (DOP) dan Safitex.

Beliau berkata, hasil siasatan PricewaterhouseCooper (PwC) terhadap urus niaga yang menyebabkan arahan bercuti dikeluarkan kepada Zakaria dan tiga individu lain, mendapati terdapat beberapa kesalahan yang menjurus ke arah rasuah.

Isa bagaimanapun berkata FGV enggan terus menuding jari, sebaliknya meminta audit dalaman menjalankan siasatan lanjut.

“FGV juga tidak akan buat laporan kepada SPRM, tetapi bersedia jika SPRM mahu menyiasat. Tidak ada siapa boleh menahan SPRM jika agensi itu mahu masuk menyiasat,” katanya.

Isa berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan Zakaria yang mahu SPRM menyiasat urus niaga dan pengambilalihan dilaksanakan FGV.

Apabila ditanya mengenai dakwaan Zakaria berhubung kewujudan tangan ghaib dan urus niaga mencurigakan dalam FGV, Isa berkata, ketua pegawai eksekutif yang dipaksa bercuti itu seharusnya membuat laporan kepada SPRM.

“Kalau dia (Zakaria) tidak puas hati (dengan arahan dan siasatan FGV) dan nak laporkan pada SPRM, laporlah,” katanya.

Isa juga mengulangi yang Zakaria masih belum disingkirkan dan hanya diminta bercuti sehingga siasatan terhadapnya selesai.

“Pagi tadi kita sudah serahkan surat kepada Zakaria supaya dia bercuti membolehkan penyiasatan ke atas perkara itu terus berjalan sehingga siap, selepas itu kita akan berikan surat tunjuk sebab.” kata Isa.

Pagi tadi, Zakaria dipetik berkata dalam laporan BH Online yang dia percaya isu urus niaga di antara Safitex dan DOP hanyalah alasan untuk menyingkirkannya.

Zakaria berkata, tunggakan itu yang hanya kira-kira 0.2 peratus daripada perolehan FGV, bukanlah isu besar sehingga cukup kuat untuk dijadikan sebab beliau dipaksa meletak jawatan, atau dipecat.

Sementara itu, seorang pembantu pengurus di jabatan pengarang The Star hari ini minta dibicarakan di Mahkamah Seksyen kerana menerima rasuah sebanyak RM20,000 di Kuala Lumpur, lapor Bernama.

M Youganesparan, 54, didakwa menerima rasuah dari Mohd Emir Mavani Abdullah, 54, bagi diberikan kepada pegawai SPRM sebagai ganjaran kepada pegawai berkenaan bagi menyelesaikan kes berkaitan Emir, yang sedang disiasat SPRM.

Pemeriksaan dengan laman web Bloomberg mendapati yang Emir adalah bekas pengarah urusan kumpulan Felda Holdings Bhd. Dia juga merupakan CEO dan Presiden Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd dari 15 Julai 2013 sehingga 1 April 2016.

Emir ialah pengarah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), Pemandu di bawah Jabatan Perdana Menteri sejak 2010.

Dia juga berkhidmat sebagai penasihat strategi dan dasar Majlis Eksekutif Abu Dhabi.  β€“ 6 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen