Sidang kemuncak Asean-Jepun bakal diadakan di Tokyo pada Disember


Sidang kemuncak bagi memperingati ulang tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama Asean-Jepun akan diadakan di Tokyo, Jepun pada Disember ini. – Gambar fail EPA, 26 Mei, 2023.

SIDANG kemuncak bagi memperingati ulang tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama Asean-Jepun akan diadakan di Tokyo, Jepun pada Disember ini.

Timbalan Setiausaha Kabinet untuk Hal Ehwal, Pengarah Komunikasi Global, di Pejabat Perdana Menteri Jepun Adachi Hideaki berharap Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menghadiri sidang kemuncak itu.

“Tahun ini menandakan ulang tahun ke-50 kerjasama Asean-Jepun dan Jepun akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak itu pada Disember di Tokyo. Jadi, saya berharap Perdana Menteri Malaysia akan menghadirinya,” katanya dalam wawancara eksklusif baru-baru ini di Hiroshima.

Bagi meraikan peristiwa penting itu, Asean dan Jepun bersetuju untuk menetapkan 2023 sebagai Tahun Ke-50 Persahabatan dan Kerjasama Asean-Jepun yang bertemakan “Golden Friendship, Golden Opportunity”.

Sidang kemuncak itu turut akan menumpukan kepada Negara Anggota Asean untuk menggalakkan  pertukaran antara rakyat serta mengadakan pelbagai acara peringatan dan program pertukaran sepanjang tahun di Asean dan Jepun.

Semua pemimpin Asean dijangka menyertai sidang kemuncak berkenaan.

Hubungan Asean-Jepun melakar kemajuan luar biasa sejak 1973.

Sehingga kini, Jepun berusaha mewujudkan hubungan “dari hati ke hati” yang disulami  keyakinan dan kepercayaan bersama dengan anggota Asean dan komited memainkan peranan sebagai rakan kongsi untuk membina keamanan dan kemakmuran di rantau ini. – Bernama, 26 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen