Ahli Parlimen Bentong gesa garis panduan jelas tangkap anjing


Ravin Palanisamy

Pihak berkuasa tempatan digesa keluarkan garis panduan jelas berhubung operasi menangkap anjing liar bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2023.

KERAJAAN serta pihak berkuasa tempatan negeri mesti mengemukakan garis panduan yang jelas mengenai prosedur menangkap anjing bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini pada masa hadapan, kata Young Syefura Othman.

Ahli Parlimen Bentong itu menggesa tindakan sedemikian susulan kematian seorang warga emas ketika cuba melindungi haiwan peliharaannya daripada ditangkap oleh Majlis Perbandaran Bentong.

“Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan pihak berkuasa tempatan perlu mengeluarkan garis panduan yang jelas berhubung prosedur pengendalian operasi menangkap anjing liar secepat mungkin.

“Ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti perselisihan faham yang boleh membawa kepada insiden lebih buruk dan pergaduhan antara pegawai penguat kuasa majlis dengan penduduk atau individu yang memberi makan kepada anjing liar,” kata ahli Parlimen DAP itu dalam satu kenyataan selepas melawat keluarga warga emas berusia 85 tahun itu, yang maut selepas terjatuh ke dalam longkang berikutan pergelutan dengan pegawai penguat kuasa.

Semalam, dilaporkan mangsa, Huang Yunhong didakwa berebut dengan penangkap anjing Majlis Perbandaran Bentong yang datang untuk mengambil anjing peliharaannya.

Menurut The Star, mangsa tinggal berdua dengan anjing kacukan berusia tujuh tahun di rumah dua tingkatnya di Taman Saga di Bentong, Pahang.

Laporan yang memetik jiran, Chan Poh Loong, 55, berkata kejadian berlaku pada jam 5 petang Rabu apabila sekumpulan penangkap anjing majlis datang ke kawasan perumahan itu.

“Anjing itu berada di dalam kurungan, tetapi pintu pagar tidak berkunci.

“Mereka berada berhampiran pintu pagar, dan anjing itu keluar,” kata Chan.

Young Syefura, yang menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga berkata tidak akan mengulas lanjut mengenai kejadian itu dan mendakwa polis serta majlis tempatan akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian itu.

Ia bukan kes pertama kes seumpama itu dilaporkan tahun ini.

Pada Mac lalu, Patrick Khoo mendakwa diserang oleh pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semasa operasi anjing liar, mendakwa dibicarakan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas mereka.

Lelaki berusia 60 tahun itu didakwa mengganggu dan menghalang pegawai penguat kuasa MBPJ daripada menjalankan tugasnya semasa pemeriksaan anjing liar minggu lalu.

Beberapa video tular di media sosial, menunjukkan Patrick kelihatan dikasari semasa operasi MBPJ menangkap anjing liar.

Bagaimanapun, MBPJ memutuskan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pegawainya yang didakwa memukul Patrick semasa operasi menangkap anjing liar, mendakwa ia adalah “kemalangan”. – 26 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen