Neuralink dapat kelulusan lakukan ujian implan otak terhadap manusia


Elon Musk semasa pengumumannya pada 2020 berhubung kemajuan Neuralink dalam menghubungkan otak dengan komputer. – Gambar AFP, 26 Mei, 2023.

SYARIKAT milik Elon Musk pada Khamis berkata ia mendapat kelulusan daripada pengawal selia Amerika Syarikat (AS) untuk menguji implan otaknya pada manusia.

Neuralink berkata kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS untuk ujian klinikal dalam manusia yang pertama adalah “langkah pertama yang penting” bagi teknologinya, yang bertujuan membolehkan otak berhubung terus dengan komputer.

“Kami teruja untuk berkongsi yang kami menerima kelulusan FDA untuk melancarkan kajian klinikal pertama terhadap manusia,” kata Neuralink dalam catatan di Twitter yang dikendalikan oleh Musk.

“Ini adalah hasil kerja luar biasa oleh pasukan Neuralink hasil kerjasama rapat dengan FDA.”

Pengambilan untuk percubaan klinikal belum dibuka, menurut Neuralink.

Matlamat implan Neuralink adalah untuk membolehkan otak manusia berkomunikasi secara langsung dengan komputer, kata Musk semasa pembentangan oleh syarikat itu pada Disember.

“Kami bekerja keras bagi bersedia implan manusia pertama kami, dan jelas sekali kami ingin berhati-hati dan pastikan ia berfungsi dengan baik sebelum meletakkan peranti pada manusia,” katanya pada masa itu.

Pada Julai 2019, beliau berikrar Neuralink akan dapat melakukan ujian pertamanya ke atas manusia pada 2020.

Prototaip produk, sebesar syiling, diimplan dalam tengkorak monyet, demonstrasi dilakukan syarikat itu.

Pada pembentangan Neuralink itu, ia memperlihatkan beberapa monyet “bermain” permainan video atau menggerakkan kursor pada skrin melalui implan Neuralink mereka.

Musk berkata syarikat itu akan cuba menggunakan implan itu untuk memulihkan penglihatan dan mobiliti pada manusia yang kehilangan keupayaan sedemikian.

“Kami akan membolehkan seseorang yang hampir tiada keupayaan untuk mengendalikan otot mereka… dan membolehkan mereka mengendalikan telefon dengan lebih pantas daripada seseorang yang mempunyai tangan yang berfungsi,” katanya.

“Walaupun ia mungkin terdengar ajaib, kami yakin ia boleh dilakukan untuk memulihkan fungsi badan sepenuhnya bagi individu yang putus saraf tunjang,” katanya.

Selain potensi untuk merawat penyakit saraf, matlamat utama Musk adalah untuk memastikan manusia tidak dibelenggu oleh kecerdasan buatan, katanya.

Syarikat lain yang turut mengusahakan sistem serupa termasuklah Synchron, yang sebelum ini mengumumkan implan brain-machine interface pertama di AS. – AFP, 26 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen