KENYATAAN Anwar Ibrahim mengaitkan kempen pilihan raya Perikatan Nasional (PN) dengan dana judi didapati terlalu umum, kata Menteri Hal Ehwal Undang-undang Azalina Othman Said.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memberitahu Dewan Rakyat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak meneruskan siasatan ke atas isu itu selepas kajian terperinci.
“... (SPRM) mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini. Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini,” katanya lagi.
Azalina berkata demikian semalam dalam satu jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari yang meminta beliau menjelaskan status siasatan kes itu.
Soalan itu berkait kenyataan perdana menteri pada Disember yang membayangkan sebahagian dana pilihan raya parti parti PN berpunca daripada cabutan khas syarikat perjudian.
“Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.
“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” katanya seperti dilaporkan pada waktu itu.
Walaupun tidak menamakan secara khusus pihak tersebut, Anwar mentakrifkannya sebagai parti Melayu dan Islam.
Anwar pada waktu itu juga membangkitkan tindakan pentadbiran PN menaikkan cabutan khas judi dari lapan kepada 22 kali setahun pada akhir 2020. – 26 Mei, 2023.
Komen