Kereta langgar pagar Downing Street


Sebuah kereta dipandu seorang lelaki merempuh pagar kompleks kediaman perdana menteri UK, Downing Street di London, semalam. – Gambar EPA, 26 Mei, 2023.

SEORANG lelaki mencetuskan amaran keselamatan selepas kereta dipandunya merempuh pintu pagar kompleks kediaman perdana menteri UK, Downing Street di London, kata polis.

Tetapi, insiden itu tidak dianggap sebagai ada kaitan dengan keganasan.

Pasukan bersenjata menahan lelaki terbabit kerana disyaki melakukan kerosakan jenayah dan memandu secara berbahaya, selepas kenderaannya terbabas ke pagar Downing Street kira-kira 4.20 petang semalam.

Tiada kecederaan dilaporkan.

Perdana Menteri Rishi Sunak dilaporkan media berada di dalam kompleks bangunan itu – yang menempatkan pejabat dan rumahnya – ketika insiden itu berlaku.

Rakaman video menunjukkan sebuah kereta berwarna perak dipandu dengan perlahan merentasi Whitehall, di mana kebanyakan pejabat kementerian berada, kemudian keluar ke kawasan berhampiran Kementerian Pertahanan, berdepan dengan Downing Street. – AFP, 26 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen