DI seluruh ibu kota Jepun, bunga sakura merah jambu dan putih mula muncul, tetapi ia kini berdepan musuh yang berpotensi memusnahkannya secara kekal, akibat serangan kumbang asing, kata pakar.
Serangga spesies “aromia bungii”, atau dikenali sebagai kumbang tanduk panjang berasal dari China, Taiwan, Semenanjung Korea dan Vietnam Utara.
Kumbang itu hidup di dalam pokok sakura dan plum, dalam kes yang serius, serangan boleh membunuh pokok.
“Sekiranya kita tidak mengambil tindakan, pokok sakura boleh rosak dan kita tidak akan dapat menikmati hanami (pesta melihat bunga sakura) dalam masa beberapa tahun,” kata Estuko Shoda-Kagaya, seorang penyelidik di Insitut Penyelidikan Produk Perhutanan kepada AFP pada Khamis.
Kumbang pertama kali dilihat pada tahun 2012 di pusat Aichi prefektur tetapi kini telah merebak di rantau ini berhampiran Tokyo, menurut kementerian alam sekitar.
Pakar mengatakan ia mungkin memasuki Jepun melalui bahan kayu-kayan yang diimport.
“Kerosakan itu akan terus tersebar jika kita tidak melakukan apa-apa,” kata Makoto Miwa dari Pusat Sains Alam Sekitar di Saitama.
Beliau berkata larva kumbang perlu dibunuh dengan racun perosak, dan pokok diserang perlu ditebang untuk menyelamatkan yang lain.
Pusat ini mengeluarkan buku panduan dengan butiran mengenai bagaimana untuk mengenal pasti dan membunuh kumbang, yang membesar tiga hingga empat sentimeter.
“Adalah penting untuk bekerjasama dengan penduduk setempat untuk menyingkirkan serangga itu. Ia memerlukan masa dan kami memerlukan ramai orang untuk memeriksa setiap pokok,” kata Kagaya.
“Dan saya faham perasaan kehilangan yang dirasakan apabila terpaksa menebang pokok itu, tetapi penting untuk mengambil tindakan sebelum kerosakan merebak ke pokok lain,” katanya.
Musim bunga sakura berkembang Tokyo secara rasmi bermula minggu lalu apabila peramal pemerhati di Yasukuni Shrine mengumumkan bunga pertama di bandar itu muncul.
Agensi meteorologi berkata bunga sakura pertama tahun ini muncul sembilan hari lebih awal berbanding kebiasaan disebabkan oleh cuaca panas.
Kemunculan bunga sakura mendapat sambutan hangat setiap tahun, dengan peramal menerbitkan peta yang dikemas kini beberapa minggu terlebih dahulu.
Sakura yang berkembang menarik pelancong tetapi juga penduduk setempat yang menganjurkan hanami atau parti melihat sakura di beberapa kawasan tertentu. – AFP, 22 Mac, 2018.
Komen