2 syarikat dibenar keluar gula putih bertapis jernih


Noel Achariam

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd mengemukakan permohonan untuk menghasilkan gula putih itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2023.

DUA syarikat pengeluar gula tempatan diberi kebenaran untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih, dengan harga akan ditentukan oleh kuasa pasaran, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Menterinya Salahuddin Ayub berkata MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) telah mengemukakan permohonan untuk menghasilkan gula putih itu.

“Kerajaan telah meluluskan permohonan ini kerana ia akan memberi pilihan kepada pengguna, selain daripada (membeli) gula kasar putih bertapis,” katanya di Putrajaya hari ini.

Pada 16 Mei lalu, MSM berkata industri gula tempatan memerlukan campur tangan kerajaan segera dengan cara menaikkan harga atau memperkenalkan apungan memandangkan industri itu menghadapi kos operasi yang tinggi.

Sebagai pengeluar makanan penting, gergasi penapisan gula itu berkata penapis tempatan ditugaskan untuk memastikan keselamatan makanan kerana import bukan pilihan yang mampan, memandangkan negara pengeksport mungkin menghadapi kuota keluar daripada kerajaan masing-masing. Sebagai contoh, India boleh menghentikan eksport untuk melindungi keperluan domestik.

Salahuddin juga berkata, MSM dan CSR boleh terus mengeluarkan gula putih bertapis untuk pasaran runcit pada harga yang dikawal kerajaan iaitu RM2.85 sekilogram (gula putih bertapis kasar) dan RM2.95 sekilogram (gula putih bertapis halus). 

MSM mempunyai 60% bahagian pasaran dalam perniagaan penapisan gula tempatan, manakala CSR mempunyai 40% kepentingan.

MSM sebelum ini berkata industri gula tempatan tidak menerima subsidi daripada kerajaan sejak 2013 dan ia beroperasi dalam persekitaran terkawal yang dikawal oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di bawah seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan 1 Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

MSM berkata harga runcit gula di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia, seperti yang diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Penentuan Harga Maksimum – No. 2, Perintah 2017). – 25 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen