Inisiatif Beijing seru bina ekonomi dunia yang terbuka


Pengerusi Majlis Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China Ren Hongbin berkata usaha harus terus diperkasakan untuk menggalakkan pemulihan ekonomi dunia.– Gambar Youtube, 25 Mei, 2023.

SIDANG Kemuncak Penggalakkan Perdagangan dan Pelaburan Global 2023 yang diadakan di Beijing, pada Rabu, sepakat untuk membina ekonomi dunia yang terbuka.

Kesepakatan itu dicapai menerusi Inisiatif Beijing yang diterima pakai di sidang kemuncak itu yang dihadiri wakil-wakil industri dan perdagangan dari lebih 30 negara dan wilayah.

Aspek lain yang turut terkandung dalam inisiatif itu adalah memperkukuh keyakinan, meningkatkan perpaduan dan kerjasama, serta menggalakkan pemulihan ekonomi dunia.

Inisiatif itu menyeru penggiat industri dan perdagangan global supaya mengukuhkan keyakinan, menambah baik sistem tadbir urus ekonomi dunia, memelihara sistem perdagangan multilateral yang berteraskan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), agar bersama-sama menghadapi cabaran sezaman, mendorong pembangunan global dan membina masa depan yang lebih indah.

Dalam aspek mengekalkan pembangunan dipacu inovasi, Inisiatif Beijing mencadangkan supaya meneroka potensi pembangunan inovasi, mengurangkan jurang digital, menyediakan suasana yang kondusif kepada syarikat, meningkatkan perlindungan harta intelek, mempercepat transformasi hasil sains dan teknologi ke produktiviti, serta mendorong hasil inovasi sains dan teknologi memanfaatkan rakyat seluruh dunia.

Menyentuh mengenai aspek pembangunan hijau, inisiatif itu bercadang untuk melaksanakan Agenda Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2030, mengadakan pertukaran dan kerjasama dalam tenaga bersih, teknologi karbon rendah dan pasaran karbon, menyokong pembiayaan dan pelaburan dalam pembangunan mampan serta penanganan perubahan iklim, menggalakkan transformasi dan penaiktarafan sumber tenaga, struktur perindustrian dan penggunaan.

Pengerusi Majlis Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China (CCPIT), Ren Hongbin, berkata usaha harus terus diperkasakan untuk menggalakkan pemulihan ekonomi dunia, membina ekonomi dunia yang terbuka, memelihara keselamatan dan kestabilan rantaian pembekalan global serta menggalakkan globalisasi ekonomi berkembang ke arah lebih terbuka, inklusif, manfaat semua pihak, seimbang dan sama menang.– Bernama, 25 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen