Bersih gesa kerajaan tamatkan era lantikan politik


Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif MDV, yang berkuatkuasa semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2023.

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengecam kerajaan perpaduan kerana meneruskan amalan lama membuat lantikan politik di syarikat berkaitan kerajaan

Jawatankuasa pemandunya merujuk kepada pelantikan Wong Chen sebagai pengerusi bukan eksekutif Malaysia Debts Ventures Berhad (MDV), sebuah syarikat milik kerajaan.

“Walaupun kami memuji tindakan Wong Chen tidak akan mempengerusikan jawatankuasa lembaga pengurusan risiko, imbuhan, audit, dan pembiayaan serta pelaburan bagi meminimumkan sebarang isu konflik kepentingan, kami tertanya-tanya sama ada terdapat kekurangan bakat di negara kita yang menyebabkan perdana menteri perlu melantik Wong Chen?”

Bersih berkata ia tidak mempersoalkan kelayakan Wong Chen tetapi kerajaan mesti menamatkan era lantikan dan naungan politik yang pada masa lalu membawa kepada rasuah dan salah urus.

Badan pemantau pilihan raya sebaliknya memuji Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang baru-baru ini menggesa calon yang layak memohon menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kementeriannya.

“Walaupun Wong Chen sudah disarin oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), pelantikan sedemikian harus ditapis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) yang berkaitan dan wakil rakyat harus dikecualikan sebagai calon untuk jawatan GLC, walaupun pengecualian boleh dibuat untuk badan berkanun utama yang menyelia dan mengarahkan dasar kerajaan.”

“Pemantauan JKPK akan memastikan hanya individu yang layak dilantik ke jawatan penting dalam GLC dan lembaga berkanun kerana perusahaan ini adalah penjaga kekayaan awam, dan bukannya perniagaan swasta.”

“Perdana menteri kerajaan perpaduan ini mesti merebut peluang ini untuk menamatkan dekad pelantikan politik dan naungan yang pada masa lalu berakhir dengan rasuah dan/atau salah urus GLC ini.”

“Biar proses pelantikan itu terbuka dan telus supaya rakyat Malaysia berkelayakan yang ingin berkhidmat kepada negara mereka melalui GLC dan badan berkanun boleh memohon,” kata Bersih.

Semalam, Wong Chen mengumumkan pelantikannya sebagai pengerusi JKPK mengenai Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan dan pengerusi bukan eksekutif MDV Kementerian Kewangan di Facebook.

Katanya, kelayakannya untuk jawatan itu juga diakui Kementerian Kewangan.

“Saya adalah bekas peguam korporat. Saya juga sudah mengisytiharkan harta saya dan menandatangani ikrar antirasuah.

Wong sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pengerusi jawatankuasa pilihan yang sama pada 2019-2020 selama empat bulan sebelum kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

MDV ialah perusahaan milik kerajaan yang menyediakan kemudahan pembiayaan kepada sektor teknologi maklumat dan komunikasi. – Bernama, 25 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen