Sanusi perlu belajar muhasabah diri


PAS harus belajar untuk bertanggungjawab ke atas kemiskinan dan kemunduran negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah, yang akhirnya memaksa anak-anak muda merantau ke negeri-negeri lain termasuk Pulau Pinang yang menjanjikan peluang pekerjaan. 

Walaupun Pulau Pinang lebih kecil daripada ketiga-tiga negeri ombak hijau itu, namun pembangunan ekonomi Pulau Pinang jauh lebih baik dengan rekod pertumbuhan ekonomi tertinggi dalam negara pada tahun 2021 pada kadar 6.8% di saat krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19. Sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula meningkat kepada kadar 7.1% bagi tahun yang sama. 

Kenyataan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi baru-baru ini kononnya Kedah ‘diarahkan’ menjadi miskin hanyalah cubaan untuk menutup kelemahan kepimpinan PAS menjelang PRN tidak lama lagi. 

Amat pelik melihat data yang merekodkan kemiskinan mutlak di Kedah tinggi walaupun negeri itu mempunyai hub teknologi Kulim Hi-Tech Park dan pusat pelancongan terkemuka dunia seperti Pulau Langkawi. 

Setakat 2019, kadar kemiskinan mutlak di Kedah adalah 8.8%, Kelantan (12.4%) dan Terengganu (6.1%). Sebaliknya, kadar kemiskinan mutlak di Selangor dan Pulau Pinang adalah masing-masing 1.2% dan 1.9%.

Hakikatnya, kerajaan PAS Kedah tidak memainkan peranan secukupnya untuk membangunkan industri tempatan dan menarik masuk pelaburan antarabangsa yang berkualiti. 

Pelaburan yang masuk ke Kulim Hi-Tech Park dicapai atas usaha agensi kerajaan persekutuan seperti MIDA dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; manakala Pulau Langkawi juga telah dimajukan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi. 

Sejauh mana pula usaha kerajaan PAS Kedah dalam menarik pelaburan sebegini?

Kenyataan Sanusi seolah-olah menyalahkan industri penanaman padi atas kemiskinan Kedah ibarat menyalahkan para pesawah atas kemunduran negeri itu yang berpunca daripada kegagalan pentadbiran PAS sendiri. 

Sanusi mengeluh Kedah terpaksa menyediakan 130,000 hektar tanah untuk penanaman padi, iaitu 13.8% keluasan negeri tersebut. 

Namun, ini tidak jauh berbeza berbanding Pulau Pinang di mana tanah seluas 12,100 hektar ditanam padi, iaitu 11.5% daripada jumlah keluasan negeri Pulau Pinang. Lebih mengagumkan, Pulau Pinang mencatatkan purata penghasilan padi tertinggi di Malaysia pada 2022, mengalahkan Kedah. 

Jika Pulau Pinang boleh menjadi salah satu penyumbang ekonomi utama negara tanpa mengabaikan sektor pertanian, mengapa perlu Sanusi mengeluh?

Justeru, rakyat Kedah, Kelantan dan Terengganu perlu menilai betul-betul parti manakah yang harus dipilih bagi mentadbir di peringkat negeri. Kesejahteraan hidup rakyat bergantung kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negeri. Satu undi untuk PAS dan Perikatan Nasional adalah satu undi untuk antikemajuan. 

Kesungguhan politik kerajaan perpaduan membangunkan ekonomi negara dan kepesatan ekonomi kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan Selangor perlu dijadikan sandaran pilihan raya negeri.

Sanusi perlu berhenti mencari helah dan salah orang lain dan belajarlah untuk muhasabah diri yang sangat dianjurkan dalam ajaran Islam. – 25 Mei 2023. 

* Faiz Fadzil, ahli Jawatankuasa Amanah Nasional.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen