LAGENDA rock Tina Turner meninggal dunia semalam pada usia 83 tahun selepas sekian lama menderita sakit.
“Dengan rasa sedih kami mengumumkan pemergian Tina Turner,” menurut kenyataan di laman Instagram rasmi pemenang Grammy lapan kali itu.
“Dengan muzik dan semangatnya untuk hidup, beliau memikat jutaan peminat di seluruh dunia dan memberi inspirasi kepada bintang masa depan.
“Tina, kami akan sangat merindui awak.”
Publisiti Bernard Doherty mengesahkan berita itu, yang katanya mengejutkan dunia.
Doherty berkata Turner meninggal dunia selepas lama sakit di rumahnya di Kusnacht dekat Zurich, Switzerland.
Beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai penyakit itu.
Turner yang terkenal lebih enam dekad yang lalu pada mulanya muncul bersama suaminya, Ike Turner.
Pasangan itu merekodkan beberapa hits bersama sepanjang 1960-an dan 1970-an, dalam perkongsian muzik di mana beliau jelas lebih berbakat.
Selepas perkahwinan mereka yang bermasalah dan ganas runtuh, Tina Turner menjalani kerjaya solo yang sangat berjaya.
Dekad berikutnya menyaksikan beliau menghadiahkan lagu-lagu hits yang dikenali dunia seperti “What’s Love Got to Do With It?”, “Private Dancer” dan “The Best”.
“We Don’t Need Another Hero” nyanyiannya menjadi runut bunyi filem “Mad Max Beyond Thunderdome,” filem thriller pasca apokaliptik 1985 yang dibintangi oleh Mel Gibson.
Sedekad kemudian, beliau merakamkan “Goldeneye”, menyertai barisan artis terpilih yang menyanyi bagi francais James Bond. – AFP, 25 Mei, 2023.
Komen