Ahli Parlimen Bakri tidak akan pertahan kerusi pada PRU14


Muzliza Mustafa

Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa hari ini turut memohon maaf kepada semua pihak sekiranya menyakiti mana-mana pihak sepanjang memegang jawatan itu.– Gambar Youtube, 22 Mac, 2018. 

AHLI Parlimen Bakri, Er Teck Hwa hari ini membuat permohonan maaf kepada sesiapa yang mungkin terasa dan kecil hati sepanjang perkhidmatannya sebagai ahi Parlimen dan menyatakan niatnya untuk tidak bertanding pada Plihan Raya Umum ke 14. 

Katanya keputusan yang dibuat itu tidak dipemgaruhi sesiapa atau disebabkan tekanan oleh pimpinan DAP. 

“Terdapat banyak khabar angin yang menyatakan saya diminta meletakkan jawatan. Jadi saya di sini mahu memberi penjelasan. Saya mahu beri peluang kepada muka baharu untuk bertanding di Bakri. Ini adalah pilihan saya sendiri,” katanya yang memegang jawatan itu selama dua penggal. 

“Saya juga ingin memohon maaf kepada semua pihak sepanjang perkhidmatan,” tambahnya. 

Er berkata beliau tiada perancangan untuk bertanding di kerusi lain namun sekiranya pimpinan parti mahukan beliau bertanding, beliau akan melakukannya. 

Tetapi, buat masa ini katanya, beliau akan memfokuskan kepada tugas di sebalik tabir bagi membantu parti lain di bawah Pakatan Harapan yang bertanding di kawasan itu seperti Bersatu, Amanah dan PKR.

Er memenangi kerusi Bakri selepas menewaskan calon MCA pada Pilihan raya umum 2008 dan 2013. 

Beliau menang majoriti 5,067 undi menewaskan calon MCA Lee Chin Yong pada pilihan raya umum lalu berbanding hanya 577 undi pada 2008. 

The Malaysian Insight semalam yang memetik sumber DAP melaporkan kerusi Parlimen Bakri dijangka akan ditandingi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Damansara Utama Yeo Bee Yin pada pilihan raya umum akan datang.

Yeo, bagaimanapun enggan mengesahkan atau menafikan perkara itu ketika ditanya The Malaysian Insight. – 22 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen