SAR pendaki Everest hilang dihentikan 28 Mei, kata kementerian 


Hawari Hashim yang merupakan OKU pendengaran, dipercayai hilang ketika dalam perjalanan ke Kem 3 selepas sampai ke puncak Gunung Everest Khamis lalu.– Gambar Facebook Malaysia Everest 2023, 24 Mei, 2023.

MISI mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari Hashim yang dilaporkan hilang ketika turun dari Gunung Everest minggu lalu akan berakhir pada 28 Mei ini, kata K. Nagulendran.

Ketua setiausaha Kementerian Belia dan Sukan itu berkata usaha mencari pendaki gunung berusia 33 tahun yang berasal dari Pulau Pinang itu sedang giat dijalankan.

“Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Belia dan Sukan akan menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM1.48 juta hari ini kepada Kelab Eksplorasi Altitud untuk misi mencari Hawari.

“Kita perlu cepat kerana semua orang mesti turun dari Everest selewat-lewatnya pada 28 Mei kerana kawasan pergunungan akan ditutup pada 29 Mei.

“Jadi tempoh ini sangat penting. Kerajaan merasakan kita mesti berusaha sedaya upaya, lebih-lebih lagi kerana Hawari adalah orang kurang upaya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Nagulendran berkata SAR tidak boleh dilanjutkan melebihi 28 Mei.

“Kita tidak boleh melanjutkan tempoh mencari dan menyelamat kerana kita tidak boleh mempertaruhkan orang lain berikutan cuaca ekstrem. Semoga misi ini berjaya dan Hawari selamat dibawa pulang,” katanya.

Hawari hilang ketika turun dari Kem 4 Khamis lalu selepas menakluki puncak tertinggi dunia itu.

Perkara itu disahkan oleh ketua ekspedisi Azim Afif Ishak yang berkata operasi mencari sedang dijalankan.

Hawari, 33, yang cacat pendengaran dipercayai hilang ketika dalam perjalanan ke Kem 3 selepas sampai ke puncak Gunung Everest, iaitu 8,848 meter dari aras laut.

Sementara itu, setiausaha bahagian konsular Kementerian Luar Mohammad Ali Selamat berkata SAR telah diperluaskan untuk merangkumi kawasan Everest di Tibet.

“Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Nepal memaklumkan kepada kami kawasan pencarian telah ditambah.

“Terdapat pengendali di Tibet yang telah dimaklumkan untuk membantu mencari Hawari,“beliau dipetik sebagai berkata.

Ekspedisi Malaysia Everest 2023 yang diketuai bekas pendaki Everest 2016 Azim Afif Ishak memulakan misinya pada 2 April dan ia akan berakhir pada 2 Jun. – 24 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen