Pembantu tadbir berdepan 24 pertuduhan terima rasuah berjumlah RM18,663


SEORANG pembantu tadbir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas 24 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM18,663 berkaitan kerja-kerja pembaikan kenderaan Jabatan Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson antara tahun 2018 dan 2020.

Norashikin Mohamed Hussin, 37, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-22, Norashikin yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson didakwa bersetuju menerima wang tunai antara RM100 hingga RM3,057 daripada seorang lelaki sebagai upah menawarkan kerja pembaikan kenderaan jabatan dalam sistem e-Perolehan (Pelawaan Tawaran Harga) kepada syarikat yang diurus individu tersebut.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 4 Disember 2018 hingga 8 Julai 2020 mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke-23 dan 24 pula, Norashikin didakwa bersetuju menerima wang RM100 dan RM200 tanpa balasan daripada individu sama melalui akaun bank antara 10 September hingga 12 September 2020 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ibu kepada dua anak itu turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama kerana membuat pengesahan satu dokumen palsu berkaitan ‘Pembaikan Turbo Charger Unit Vektor NBS Nissan Frontier’ berjumlah RM2,900 sedangkan kerja itu tidak dilakukan pada 31 Januari 2020.

Mahkamah kemudian membenarkan Norashikin diikat jamin RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan memerintahkannya melapor diri di pejabat SPRM Port Dickson setiap sebulan.

Mahkamah turut menetapkan 28 Julai sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Azriff Firdaus Mohammad Ali manakala Norashikin diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan dan Noor Hidayah Saad. – Bernama, 24 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen