Wartawan Mexico dibunuh di negeri dikuasai kartel dadah


Suruhanjaya Negeri bagi Membantu dan Melindungi Wartawan berkata Leobardo Vasquez Atzin ditembak di luar rumahnya, di Veracruz, iaitu sebuah negeri yang paling berbahaya bagi wartawan. – Gambar AFP, 22 Mac, 2018.

SEORANG wartawan Mexico ditembak mati pada Rabu di satu kawasan kartel dadah, kata sebuah jawatankuasa yang melindungi wartawan.

Suruhanjaya Negeri bagi Membantu dan Melindungi Wartawan berkata Leobardo Vasquez Atzin ditembak di luar rumahnya, di Veracruz, iaitu sebuah negeri yang paling berbahaya bagi wartawan.

Menurut Presiden suruhanjaya itu, Ana Laura Perez, Leobardo tidak melaporkan menerima ancaman bunuh kepada mereka.

Tetapi, rakan-rakannya berkata, Leobardo hidup di bawah ancaman dari penjenayah.

Wartawan malang itu berkhdimat untuk akhbar Opinion di bandar Poza Rica sehingga akhir tahun lalu.

Beliau baru-baru ini bekerja sebagai pentadbir di sebuah laman web berita, Enlace informativo Regonal, kata Perez.

Sebuah kumpulan sokongan media, Articulo 19, berkata seramai 12 orang wartawan telah dibunuh di Mexico pada 2017.

Dengan lebih daripada 100 wartawan terbunuh sejak 2000, Mexico berada di kedudukan sebagai negara paling berbahaya di dunia bagi wartawan. Veracruz merupakan negeri yang paling berbahaya, dengan 20 pembunuhan.

Veracruz yang terletak di Teluk Mexico, adalah negeri yang berada dalam peperangan antara kartel dadah. Golongan penjenayah ini membiaya diri mereka melalui penculikan dan peras ugut, di mana pegawai penguatkuasa tempatan sering menjadi rakan sekongkol mereka. – AFP, 22 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen