KOREA Selatan hari ini memutuskan untuk menangguhkan pelancaran roket buatan sendiri Nuri kerana masalah teknikal yang dikesan semasa persiapan akhir.
“Semasa mengawal injap helium, jurutera aeroangkasa menemui masalah komunikasi antara komputer kawalan pelancaran dan komputer kawalan kemudahan pad pelancar.
“Injap okay tetapi sistem mungkin penting apabila ia melibatkan sistem operasi automatik. Jadi tidak dapat dielakkan kami membatalkan pelancaran yang dijadualkan,” kata Naib Menteri Sains Oh Tae Seog dalam taklimat di Pusat Angkasa Naro di Goheung, lapor Agensi Berita Yonhap.
Pegawai mengesan masalah itu kira-kira 3.30 petang sebelum mereka mula memasukkan bahan api dan pengoksida ke dalam roket.
Jawatankuasa pengurusan pelancaran yang menyelia keseluruhan proses mengadakan mesyuarat mengenai isu itu dan memutuskan untuk menangguhkan pelancaran Nuri.
Jawatankuasa itu akan menentukan sama ada Korea Selatan akan meneruskan pelancaran roket pada Khamis.
Nuri seberat 200 tan dijadual berlepas dari Pusat Angkasa Naro di perkampungan pantai selatan negara itu, Goheung kira-kira 6.24 petang.
Turut dikenali sebagai KSLV-II, Nuri dimuatkan dengan lapan satelit praktikal yang mempunyai misi masing-masing di angkasa, manakala satelit tiruan dan satelit pengesahan prestasi untuk menguji keupayaan roket itu berada di atas kapal dalam pelancaran sebelum ini. – Bernama, 24 Mei, 2023.
Komen