Lamborghini derma AS$1 juta kepada wilayah banjir di Itali


Hujan lebat melanda Emilia-Romagna lebih seminggu lalu, menyebabkan banjir dan tanah runtuh di lebih 30 bandar dan kampung. – Gambar AFP, 24 Mei, 2023.

PENGELUAR kereta super Itali, Lamborghini akan menderma €1 juta (AS$1.08 juta) untuk membantu mangsa banjir di wilayah Emilia-Romagna di negara itu, lapor Sputnik.

“Automobili Lamborghini menyokong kempen pengumpulan dana dipromosikan Agensi Keselamatan Wilayah dan Perlindungan Awam melalui derma €1 juta euro.

“Dana itu akan didermakan dengan penyelarasan pihak berkuasa tempatan untuk menyokong komuniti yang terjejas, dengan tumpuan khusus pada projek pemulihan alam sekitar akibat ketidakstabilan hidrogeologi,” kata Lamborghini dalam satu kenyataan.

Pembuat kereta itu juga mengumumkan pembatalan Acara Giro – sambutan ulang tahun ke-60 syarikat yang akan diadakan dari 24 hingga 28 Mei dari Rom ke Bologna.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Lamborghini Stephan Winkelmann berkata syarikat itu sentiasa prihatin dan sensitif terhadap wilayah di mana kami beroperasi dan melalui isyarat konkrit ini kami menyatakan solidariti dan keakraban kami dengan komuniti yang terjejas oleh kecemasan alam sekitar itu.

Minggu lalu, pengeluar kereta super Itali, Ferrari turut mengumumkan sumbangan €1 juta dalam bentuk bantuan kepada mangsa banjir di wilayah itu.

Formula 1 juga mengumumkan sumbangan €1 juta kepada Agensi Keselamatan Wilayah dan Perlindungan Awam Wilayah Emilia-Romagna untuk membantu komuniti yang terjejas akibat banjir selain membatalkan Grand Prix Emilia-Romagna di Litar Imola  yang dijadual pada 20 hingga 21 Mei.

Hujan lebat melanda Emilia-Romagna lebih seminggu lalu, menyebabkan banjir dan tanah runtuh di lebih 30 bandar dan kampung.

Sekurang-kurangnya 15 terbunuh dalam bencana alam itu.

Menurut pihak berkuasa tempatan, 43 penempatan masih dinaiki air manakala kira-kira 23,000 masih berada di pusat pemindahan.

Pada Selasa, Majlis Menteri Itali meluluskan pakej bantuan bernilai lebih €2 bilion untuk membantu mangsa banjir. – Bernama, 24 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen