PEMUDA PAS Kelantan mempertahankan bayaran sagu hati sebanyak RM10,000 kepada pemimpin politik yang dilantik menjadi pengarah Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed berkata ia bagi menghargai usaha pengarah terbabit menggunakan otak masing-masing dalam menjalankan tugas mereka.
Mohamad menyatakan demikian dalam kenyataannya yang mengakui dua daripada sembilan pengarah AKSB merupakan lantikan politik.
“(Bayaran sagu hati ini) sebagai menghargai kerja memerah minda dalam memberikan pandangan dan keputusan dasar kepada pihak pengurusan.
“Lagi pula sebahagian besar lantikan ahli lembaga pengarah iaitu tujuh daripada sembilan orang adalah anggota yang profesional dalam aspek pengurusan dan teknikal air yang tiada apa-apa jawatan dalam parti,” katanya.
Beliau juga menolak perbandingan yang menyebut kakitangan AKSB lain hanya dibayar RM200 sedangkan setiap pengarah tersebut menerima habuan RM10,000.
Dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook itu, Kamal berkata penambahbaikan sudan dibuat ke atas kebajikan kakitangan bagi sambutan Hari Raya.
Beliau seterusnya mempersoalkan tujuan dokumen bawah Akta Rahsia Rasmi itu didedahkan kerana bayaran sagu hati itu menurutnya hanya amalan pentadbiran biasa.
Kamal juga menyebut, pemimpin PAS juga mampu mendedahkan perkara serupa melibatkan bayaran kepada pengarah syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat air negeri lain.
Dokumen AKSB mengenai bayaran sagu hati RM10,000 kepada setiap pengarahnya tular beberapa hari selepas kebocoran maklumat sulit berkaitan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB).
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad membuat laporan polis pada Jumaat lalu berhubung kebocoran maklumat projek tersebut dan fitnah yang disiarkan.
Sebaran tersebut mendakwa Nik Nazmi dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim meluluskan projek RTB tanpa melalui proses dan tatacara yang teratur.
Sementara itu, PRK Kelantan mendesak kerajaan negeri dan AKSB menjelaskan kewajaran pemberian sagu hati sebanyak itu kepada pengarah.
Pemimpinnya Dr Rosli Allani Abdul Kadir dilaporkan mempersoalkan bayaran itu dengan membandingkan mutu perkhidmatan AKSB dalam menyalurkan bekalan kepada rakyat negeri.
“(Adakah bayaran itu) sepadan dengan pencapaian serta sasaran syarikat terbabit membekalkan air bersih kepada seluruh rakyat Kelantan,” katanya.
Masalah bekalan air terputus itu menyebabkan seorang wakil rakyat terpaksa mengambil air dari pili bomba untuk diagihkan kepada penduduk kawasannya.
Tindakan dilakukan Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof itu menyebabkan satu syarikat kontraktor dikompaun RM100 kerana mengambil air secara tidak wajar dari pili bomba. – Bernama, 24 Mei, 2023.
Komen