Hubungan Iran-Indonesia beri manfaat kepada dunia Islam


Presiden Iran, Ebrahim Raisi berkata perlu untuk membawa hubungan Tehran-Jakarta ke tahap baharu. – Gambar AFP, 24 Mei, 2023.

PRESIDEN Iran, Ebrahim Raisi berkata perkembangan hubungan antara Iran dan Indonesia menjanjikan kemajuan besar bagi kedua-dua negara, rantau ini dan masyarakat Islam. 

Beliau menggariskan mengenai potensi sedia ada di kedua-dua negara Islam itu dan menekankan keperluan untuk membawa hubungan Tehran-Jakarta ke tahap baharu.

“Walaupun terdapat ancaman dan sekatan tidak adil, Republik Islam Iran mencapai kemajuan yang ketara dan mencapai keupayaan yang mewujudkan peluang baik untuk pembangunan hubungan dua hala,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pertemuan dengan speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Puan Maharani, di Jakarta pada Selasa, lapor Agensi Berita Iran (IRNA).

Sambil merakamkan penghargaan atas pendirian Indonesia yang menyokong rakyat Palestin dan Afghanistan, presiden Iran itu menganggap pengukuhan hubungan dua hala sebagai satu cara untuk menjamin kepentingan kedua-dua negara, rakyat di rantau itu dan umat Islam amnya.

“Tiada halangan dalam cara membangunkan hubungan,” kata Raisi, sambil menyeru usaha untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang tenaga, perubatan, sains dan teknologi.

Pada pertemuan itu, Maharani turut menyuarakan sokongan terhadap perjanjian yang dicapai semasa lawatan Raisi ke Indonesia.

“Saya yakin hubungan kedua-dua negara bukan sahaja akan berkembang dalam bidang politik tetapi juga dalam bidang ekonomi dan perubatan,” katanya.

Kedua-dua pihak memeterai 11 dokumen kerjasama dan memorandum persefahaman (MoU) mengenai pembangunan interaksi ekonomi dan politik.

Lawatan dua hari Raisi ke Indonesia membuka “lembaran baharu” dalam hubungan dua hala, memupuk kerjasama dalam menangani cabaran serantau dan mempromosikan kemakmuran bersama. – Bernama, 24 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen