PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata dunia gagal melindungi orang awam apabila semakin ramai yang terperangkap dalam konflik, dengan krisis kemanusiaan semakin buruk tahun lalu.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata sepanjang tahun lalu, agensi itu merekodkan peningkatan 53% kematian orang awam berbanding tahun sebelumnya, dengan hampir 17,000 kematian direkodkan dalam 12 pertempuran.
Memetik kematian orang awam di Ukraine dan Sudan, kemusnahan sekolah di Ethiopia dan kerosakan infrastruktur air di Syria, Guterres berkata dunia kini gagal memenuhi komitmen melindungi orang awam.
Guterres, yang duduk di sebelah Duta Russia Vasily Nebenzya berkata kajian PBB terhadap layanan pada orang awam di zon perang menunjukkan 94% mangsa senjata letupan di kawasan berpenduduk adalah orang awam sepanjang tahun lalu.
Selain itu, katanya kajian itu juga mendapati lebih 117 juta penduduk berdepan isu kelaparan yang kritikal, khususnya akibat perang dan keadaan tidak selamat.
Dalam pertempuran di Ukraine misalnya, PBB merekodkan hampir 8,000 kematian orang awam dan lebih 12,500 cedera, dan angkanya berkemungkinan lebih tinggi.
Di seluruh dunia pula katanya, jumlah pelarian yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing akibat konflik, keganasan, pelanggaran hak asasi manusia dan pembunuhan mencecah 100 juta. – AFP, 24 Mei, 2023.
Komen