Jam tangan milik maharaja terakhir China dilelong AS$6 juta


Jam tangan jenama Patek Philippe milik maharaja terakhir China terjual pada harga lebih AS$6 juta dalam satu lelongan di Hong Kong semalam. – Gambar AFP, 24 Mei, 2023.

JAM tangan jenama Patek Philippe milik maharaja terakhir China terjual pada harga lebih AS$6 juta dalam satu lelongan di Hong Kong semalam.

Ref 96 Quantieme Lune yang tertera lambang seperti mahkota, pada asalnya dimiliki oleh Aisin-Gioro Puyi, monarki terakhir dinasti Qing China.

Menjadi maharaja pada usia dua tahun pada 1908, kisa Puyi diabadikan menerusi filem “The Last Emperor”, arahan Bernardo Bertolucci dan turut memenangi anugerah Oscar.

Selepas lebih 20 tahun dipaksa turun takhta, baginda dijadikan pemimpin boneka oleh kerajaan Manchuria yang diduduki Jepun, sebelum ditahan pada 1945 selepas kejatuhan Jepun dan dibawa ke kem tahanan Soviet.

Rumah lelongan Britain, Phillips berkata ia mempunyai dokumen menunjukkan Puyi membawa jam itu bersamanya ke kem berkenaan.

Dijangkakan ia dapat dilelong pada harga AS$3 juta, tetapi selepas lima minit bidaan, ia terjual pada harga AS$5.1 juta. Dengan yuran premium pembeli, jumlah keseluruhan jam itu ialah AS$6.2 juta. – AFP, 24 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen