Bengang telefon dirampas, murid bakar asrama


Asrama menempatkan murid perempuan berusia antara 11 hingga 12 dan 16 hingga 17 tahun di Guyana terbakar dan menyebabkan 19 maut. – Gambar AFP, 24 Mei, 2023.

KEBAKARAN sebuah asrama hujung minggu lalu di tengah Guyana hingga mengorbankan 19 kanak-kanak berpunca daripada seorang murid yang berang kerana telefon bimbitnya dirampas, kata sumber kerajaan.

Laporan rasmi polis mengesahkan seorang murid perempuan disyaki memulakan kebakaran itu kerana telefon bimbitnya diambil.

Pihak berkuasa berkata murid terbabit mengakui melakukan perbuatan itu dan kini dalam tahanan polis di sebuah hospital daerah di Mahdia.

Polis sedang menunggu untuk sama ada mendakwanya atau tidak, kata pihak berkuasa.

Asrama itu menempatkan murid perempuan berusia antara 11 hingga 12 dan 16 hingga 17 tahun.

Selain mangsa yang maut, kira-kira 20 lagi murid dibawa ke hospital dengan dua daripadanya dalam keadaan kritikal.

“Kakitangan asrama mengambil telefon berkenaan daripada murid perempuan berkenaan dan pada malam sama, dia mengugut akan bakar bangunan itu dan semua orang dengar,” kata sumber yang enggan nama didedahkan.

Pihak berkuasa berkata tidka lama kemudian murid itu ke kawasan bilik air dan menyembur racun serangga di langsir sebelum menyalakan api menggunakan mancis.

Katanya, beberapa murid memberitahu perkara sama.

Walaupun ada murid yang cuba memadamkan kebakaran itu, ia merebak dengan cepat marak ke siling kayu dan kemudian keseluruhan bangunan.

“Menurut beberapa murid, mereka sedang tidur dan terjaga selepas mendengar jeritan,” kata laporan polis. – AFP, 24 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen