Kesiapsiagaan maritim keutamaan kerajaan tangani ancaman di perairan, kata PM


Pameran LIMA '23 kembali selepas kali terakhir dianjurkan pada 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata soal pertahanan dan kesiapsiagaan maritim negara khususnya tentera laut menjadi keutamaan kerajaan dalam menangani ancaman di perairan Malaysia.

Katanya beliau akan melihat keperluan itu namun segala keputusan akan dibuat mengikut keupayaan negara untuk menyediakan keperluan itu.

“Malaysia adalah sebuah negara maritim. Keseluruhan perairan itu membentuk negara Malaysia. Soal pertahanan dan kesiapsiagaan maritim khusus tentera laut jadi keutamaan kita,” katanya ketika menghadiri program “Fleet Review” sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ‘23) di Langkawi, Kedah hari ini.

Fleet Review adalah satu acara perhimpunan kapal tentera laut negara tertentu yang disaksikan oleh ketua negara dan/atau orang kenamaan awam dan tentera.

Terdahulu sebaik tiba di Langkawi, beliau hadir di Resort World Langkawi bagi menyempurnakan perasmian segmen maritim.

Mengulas mengenai LIMA ‘23, perdana menteri berkata ia mendapat sambutan yang baik dan penganjurannya cukup memuaskan.

“Ia akan beri pulangan terutama kepada sektor pertahanan negara secara umumnya,” katanya.

LIMA ‘23 bertemakan “Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia” bermula hari ini hingga 27 Mei.

Edisi kali ini membabitkan dua kementerian iaitu Kementerian Pertahanan (Sektor Pertahanan) dan Kementerian Pengangkutan (Sektor Komersil).

Kali terakhir acara dwitahunan itu diadakan adalah pada 2019 dan ditangguhkan pada 2021 susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika itu. – Bernama, 23 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen