Mahkamah Pakistan benarkan Imran Khan diikat jamin


Mahkamah Pakistan membenarkan bekas perdana menteri Imran Khan diikat jamin sehingga bulan depan. – Gambar fail EPA, 23 Mei, 2023.

MAHKAMAH Pakistan pada Selasa membenarkan bekas perdana menteri Imran Khan diikat jamin sehingga bulan depan, lapor agensi berita Jerman DPA.

Mahkamah Antikeganasan (ATC) memberikan perlindungan kepada Imran daripada ditahan sehingga 8 Jun, kata jurucakap parti Khan, Ahmad Janjua.

Bekas pemimpin itu dibenarkan ikat jamin dalam lapan kes keganasan kerana menghasut penyokongnya untuk melakukan keganasan di kompleks kehakiman persekutuan pada Mac.

Imran menghadapi banyak kes membabitkan rasuah dan keganasan.

Walaupun beliau dibenarkan ikat jamin, terdapat kemungkinan pihak berkuasa akan menangkapnya bagi lebih 100 kes lain.

Imran memberitahu mahkamah beliau mempertaruhkan nyawanya setiap kali melangkah keluar dari rumahnya.

“Saya percaya ada ancaman terhadap nyawa saya,” katanya lapor media tempatan.

Kali ini penyokong Imran tidak keluar mengadakan protes ekoran tindakan keras pihak berkuasa terhadap mereka kerana rusuhan maut dan vandalisme di kem tentera berikutan penahanannya pada 9 Mei.

Bekas menteri hak asasi manusia Shireen Mazari turut dibenarkan ikat jamin atas tiga pertuduhan berbeza, ditahan semula sebaik keluar dari penjara selain sebilangan ahli politik lain mengalami nasib yang sama.

Tentera memulakan perbicaraan terhadap penyokong Imran yang terbabit dalam serangan ke atas kemudahan tentera. – Bernama, 23 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen