HAMPIR separuh daripada spesies haiwan di permukaan dunia sedang mengalami penurunan populasi, menurut satu kajian baharu, lapor agensi berita Jerman DPA.
Kajian yang diterbitkan pada Selasa, meneliti perubahan dalam kepadatan populasi lebih daripada 70,000 spesies haiwan permukaan di dunia dari semasa ke semasa, menjadikannya penyelidikan paling komprehensif seumpamanya setakat ini.
Penyelidik dari Queen’s University Belfast berkata, penemuan itu adalah “amaran drastik” kerana kehilangan biodiversiti global yang disebabkan oleh perindustrian manusia jauh lebih membimbangkan daripada yang disangka sebelum ini.
Mereka mendapati 48% spesies di bumi sedang mengalami penurunan dalam saiz populasi, manakala kurang daripada 3% spesies itu semakin meningkat dalam saiz populasi.
Tahap kepupusan spesies secara tradisinya diukur oleh kategori pemuliharaan ancaman Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), yang mendapati 28% kehidupan di bumi kini diancam kepupusan.
Bagaimanapun, kajian baharu itu menggunakan analisis berskala global bagi pengukuran risiko kepupusan yang berbeza, iaitu “trend populasi”.
Penyelidik mendapati tahap krisis kepupusan adalah jauh lebih teruk daripada yang ditunjukkan oleh pengukuran tradisional berdasarkan kategori ancaman.
Mereka juga mendapati 33% spesies pada masa ini dianggap “selamat” oleh IUCN sebenarnya semakin berkurangan ke arah risiko kepupusan.
Dalam pada itu, analisis mendapati kekurangan spesies dengan peningkatan populasi menunjukkan spesies lain tidak berkembang untuk menggantikan spesies pupus dalam ekosistem.
“Kaedah kajian baharu dan analisis berskala global ini memberikan gambaran lebih jelas mengenai tahap sebenar hakisan biodiversiti global yang tidak dapat ditawarkan oleh pendekatan tradisional,” kata pensyarah kanan biologi evolusi dan makroekologi Queen’s University Belfast, Dr Daniel Pincheira-Donoso.
Kehilangan biodiversiti global dilihat sebagai satu cabaran paling serius kepada manusia untuk dekad akan datang, menjejaskan fungsi ekosistem, pengeluaran makanan, penyebaran penyakit dan kestabilan ekonomi global. – Bernama, 23 Mei, 2023.
Komen