Usaha membasmi rabies Sarawak masih belum selesai


Desmond Davidson

300 mangsa gigitan anjing gila terselamat daripada serangan dalam tempoh enam tahun Sarawak memerangi penyakit zoonosis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2023.

USAHA Sarawak membasmi rabies masih belum berakhir dengan Menteri Kemajuan Industri Makanan, Komoditi dan Wilayah Dr Stephen Rundi memberitahu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Jabatan Perkhidmatan Veterinar menerima purata 250 laporan gigitan haiwan setiap bulan.

Beliau berkata angka kematian manusia amat merugikan dengan 59 kematian daripada 66 kes rabies manusia sejak wabak rabies diisytiharkan di negeri itu pada 1 Julai 2017.

Rundi berkata pada tahun ini sahaja, terdapat sembilan kematian daripada 11 kes rabies manusia.

Kematian itu tegasnya disebabkan mangsa tidak mendapatkan rawatan segera atau tidak mendapatkan rawatan langsung.

Beliau memberitahu Sidang DUN itu, 300 mangsa gigitan anjing gila terselamat daripada serangan itu dalam tempoh enam tahun negeri itu memerangi penyakit zoonosis.

“Kami masih terus menghadapi cabaran,” kata Rundi.

Padawan, di pinggir Kuching mempunyai jumlah kes positif rabies haiwan terbanyak tahun ini.

Rundi berkata, kawasan itu mempunyai 17 daripada 42 kes positif dengan kawasan dalam had bandar Kuching hanya mencatatkan 10.

Semua haiwan terbabit adalah anjing.

“Semua kes persampelan haiwan positif tahun ini masih dalam kawasan yang diisytiharkan sebelum ini dijangkiti rabies,” kata Rundi.

Sejak 2017, 72 kawasan di Sarawak diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan rabies: Kuching (7), Samarahan (4), Serian (22), Sri Aman (6), Betong (3), Sarikei (5), Sibu (3), Kapit (1), Mukah (6), Bintulu (5), Miri (8) dan Limbang (2).

“Oleh itu penting untuk sentiasa meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan rabies, vaksinasi dan langkah kawalan, serta mencari strategi dan penyelesaian berkesan untuk membanteras rabies di Sarawak.

“Kerajaan negeri amat komited dengan matlamat ini, dengan dana diperuntukkan untuk tenaga kerja, logistik dan sumber yang amat diperlukan untuk memerangi penyakit ini.”

Beliau berkata sebahagian daripada pelan tindakan negeri itu juga disasarkan ke arah mengekalkan kerjasama dan komunikasi dengan jiran sempadan di Sabah, Brunei dan Indonesia, untuk memantau kawalan sempadan dan penghijrahan haiwan. – 23 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen