PM Rusia adakan lawatan perniagaan ke China


Perdana Menteri Rusia Mikhail Mishustin memulakan lawatan perniagaan dua hari ke China hari ini sebagai sebahagian daripada pertukaran peringkat tinggi antara kedua-dua negara. – Gambar AFP, 23 Mei, 2023.

PERDANA Menteri Rusia Mikhail Mishustin memulakan lawatan perniagaan dua hari ke China hari ini sebagai sebahagian daripada pertukaran peringkat tinggi antara kedua-dua negara, lapor Agensi Anadolu.

Mishustin yang menjangkakan jumlah dagangan antara Rusia dan China akan mencecah AS$200 bilion tahun ini berkata kedua-dua pihak boleh bekerjasama dalam pembinaan kapal, pengeluaran dron awam dan industri perkayuan.

Jemputan kepada perdana menteri Rusia itu disampaikan oleh rakan sejawatannya dari China Li Qiang, menurut Kementerian Luar China.

China dan Rusia baru-baru ini melakukan lawatan peringkat tinggi dengan Presiden Xi Jinping mengadakan lawatan negara ke Moscow pada Mac diikuti lawatan menteri pertahanan China.

Semasa pertemuannya dengan Xi di Moscow, Mishustin berkata perdagangan dua hala antara Rusia dan China pada tahun lepas menghampiri AS$190 bilion.

“Saya yakin tahun ini, kami akan memenuhi sasaran yang ditetapkan oleh anda (Xi Jinping) dan Presiden Rusia Vladimir Vladimirovich Putin, untuk merealisasikan perdagangan (dua hala) kepada AS$200 bilion,” kata Mishustin kepada Xi di Moscow. – Bernama, 23 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen