KERAJAAN Mexico semalam mengumumkan beberapa langkah pencegahan selepas gunung berapi Popocatepetl mula mengeluarkan asap dan abu pada hujung minggu.
Antara langkah pencegahan yang diumumkan itu termasuk penyediaan tempat perlindungan dan penempatan tentera, anggota keselamatan awam dan pasukan yang akan menguruskan pemindahan penduduk apabila keadaan memerlukan.
Setakat ini Pusat Pencegahan Bencana Kebangsaan mengeluarkan amaran peringkat kuning Fasa 3, lapor Agensi Anadolu.
Gunung berapi Popocatepetl terletak di sempadan negeri Mexico, Puebla dan Morelos.
Setakat Ahad sebanyak 573 letusan gunung berapi Popocatepetl direkodkan, 70 peratus daripadanya letusan kecil.
Bagaimanapun keadaan itu menyebabkan dua lapangan terbang antarabangsa di Mexico City membatalkan penerbangan untuk hari ketiga berturut-turut.
Syarikat penerbangan seperti Aeromexico mengumumkan pembatalan 46 penerbangan semalam.
Pihak berkuasa pendidikan turut mengumumkan beberapa sekolah di Puebla dan Tlaxcala ditutup.
Terdahulu dalam satu sidang media Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador berkata Kementerian Keselamatan dan Perlindungan Rakyat membentuk satu suruhanjaya untuk mengawasi kerja-kerja menyediakan tempat perlindungan dan laluan untuk membolehkan penduduk dapat dipindahakn dengan lancar. – 23 Mei, 2023.
Komen