Sesi persekolahan mula Januari semula pada 2026, kata KPM


Ravin Palanisamy

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM telah pun memulakan usaha dengan merancang untuk mengawalkan kalendar akademik persekolahan sesi 2024/2025 bermula pada Februari 2025. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei 2023.

TAKWIM sesi persekolahan akan dikembalikan semula kepada jadual asal iaitu Januari bermula 2026, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Kementerian Pendidikan (KPM) katanya telah pun memulakan usaha dengan merancang untuk mengawalkan kalendar sesi persekolahan sesi 2024/2025 bermula pada Februari 2025.

“Kalendar persekolahan dirancang dapat bermula pada bulan Januari ialah pada tahun 2026,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Fadhlina menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang ingin tahu apakah langkah KPM bagi memastikan takwim persekolahan dipatuhi semua pihak dan bilakah tahun persekolahan dapat kembali dimulakan pada awal Januari.

Beliau menjelaskan perubahan semula takwim persekolahan perlu mengambil kira faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun, selain tidak mengganggu jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

KPM juga melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum khususnya tempoh pembelajaran sebanyak 32 hingga 36 minggu yang diperlukan bagi menyelesaikan keseluruhan kurikulum persekolahan setahun, katanya.

“KPM juga telah melakukan penjajaran kepada jadual peperiksaan awam agar ia selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan.

“KPM berharap dengan pengumuman ini, aspek kewangan dan ekonomi dapat dirancang mulai sekarang oleh semua pihak yang terlibat,” kata Fadhlina.

Takwim persekolahan diubah daripada Januari kepada Mac bermula 2022, selepas KPM umum sesi persekolahan 2021 dilanjut hingga Februari tahun berikutnya akibat pandemik Covid-19. – 23 Mei 2023.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen