Jenazah Awang Askandar dibawa turun ke Kathmandu esok 


Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub, terkorban ketika dalam ekspedisi pendakian Gunung Everest.– Gambar Facebook, 22 Mei, 2023.

JENAZAH pendaki Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub, yang terkorban ketika dalam ekspedisi pendakian Gunung Everest, dijangka dibawa turun dari Base Camp ke Kathmandu, Nepal esok apabila keadaan cuaca mengizinkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Armizan Mohd Ali dalam kenyataan hari ini berkata jenazah akan dibawa turun oleh pasukan sherpa dari Kem Empat ke Base Camp pada 2 petang waktu tempatan hari ini.

Armizan berkata beliau telah mengadakan sidang video bersama Setiausaha Bahagian Konsular Kementerian Luar Mohammad Ali Selamat dan Counsellor/Charge d` Affaires Kedutaan Malaysia di Kathmandu Mohd Fazle Abu Hasan hari ini berhubung perkembangan pengurusan membawa balik jenazah.

Allahyarham Awang Askandar yang merupakan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah dan berasal dari Kampung Benoni, Papar, Sabah, adalah seorang daripada peserta misi Malaysia Everest 2023 bermula 2 April lepas.

Media melaporkan Awang Askandar meninggal dunia selepas berhadapan masalah kesihatan ketika berada pada jarak 8,000 meter dari aras laut dalam misi menawan puncak Everest yang hanya memerlukan kira-kira 20 minit sampai ke puncak.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata beliau juga telah berbincang dan memaklumkan perkembangan terkini Allahyarham Awang Askandar kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

“Ketua Menteri Sabah memberikan komitmen bahawa kerajaan negeri akan membantu menampung kos tambahan yang diperlukan di luar tanggungan insurans bagi pengurusan jenazah untuk memastikan jenazah dapat dikebumikan di kampung halaman di Papar, sebagaimana hasrat ahli keluarga,” katanya. – Bernama, 22 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen