KERAJAAN menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan tempatan untuk menggunakan bahan api penerbangan mampan (SAF) bagi mengurangkan kadar pelepasan gas karbon di negara ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ini selaras usaha negara ke arah ekonomi rendah karbon selain memenuhi komitmen di bawah skim pengimbangan dan pengurangan karbon untuk fasa mandatori penerbangan antarabangsa (Corsia).
“Industri penerbangan merupakan industri paling banyak mengeluarkan gas dan di negara-negara di Eropah sudah pun ada negara yang sudah mewajibkan syarikat penerbangan mereka (menggunakan SAF) .
…tetapi di Malaysia, kita belum lagi sampai tahap mewajibkan bagaimanapun sudah tentu kita akan ke arah itu,” katanya pada sidang media di Kompleks Lang Merah, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, di Langkawi hari ini.
Terdahulu, Loke menaiki penerbangan komersial Malaysia Airlines yang menggunakan SAF dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Bagi mempercepatkan penggunaan SAF, Loke berkata keseluruhan ekosistem penerbangan—kerajaan, industri, pihak berkepentingan dan pengeluar—perlu bekerjasama untuk mewujudkan satu dasar dan kerangka pengaturan yang menyokong, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan serta melihat kepada galakan pengeluaran dan penggunaan SAF.
Sementara itu, Ketua Perniagaan Komersial Petronas Dagangan Berhad Hardeep Singh berkata syarikat itu ketika ini merupakan pembekal SAF dan dijangka akan memulakan projek rintis untuk menjadi pengeluar bahan bakar berkenaan pada suku keempat tahun ini.
“Kami mempunyai rancangan mengeluarkan (SAF) dalam suku keempat tahun ini,” katanya. – Bernama, 22 Mei, 2023.
Komen