APMM Terengganu tahan 41 nelayan Vietnam


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan 41 nelayan warga Vietnam selepas menahan tiga bot nelayan asing di perairan negeri itu pada 19 Mei lepas.

Pengarah APMM Terengganu Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata penahanan itu dibuat pihaknya ketika rondaan bersepadu Op Kuda Laut dan Op Naga Barat, di sekitar perairan Terengganu, iaitu kira-kira 123 batu nautika timur Kuala Terengganu.

“Bot pertama dengan nombor pendaftaran asing dikendalikan 15 nelayan warga Vietnam ditahan sekitar 10 pagi, sebelum diikuti penahanan bot kedua yang membawa 14 kru termasuk tekong kira-kira 10 minit kemudian. 

“Pada 10.30 pagi hari sama, APMM turut menahan bot ketiga serta menahan 12 kru termasuk tekong,” katanya di Kuala Terengganu hari ini. 

Katanya, kesemua ditahan berusia 21 hingga 44 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah manakala tekong ketiga-tiga bot juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah.

“Mereka disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara iaitu kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Turut dirampas ialah ketiga-tiga bot jenis Kien Giang, peralatan menangkap ikan, bekalan diesel kira-kira 1,500 liter dan hasil tangkapan seberat 100 kilogram,” kata Rashidilhadi.

Menurutnya, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM4.5 juta dan kesemua yang ditahan dibawa ke Jeti Pusat Tahanan Vesel, Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut. – Bernama, 22 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen