Sukar anggarkan kerosakan akibat banjir di Emilia Romagna, kata PM Itali 


Perdana Menteri Giorgia Meloni pulang lebih awal dari sidang kemuncak G7 di Hiroshima, Jepun untuk meninjau di kawasan bencana. – Gambar AFP, 22 Mei, 2023.

KEMUSNAHAN akibat banjir dan tanah runtuh di Emilia Romagna di wilayah utara Itali merupakan tragedi yang juga mungkin membawa peluang untuk bangkit dengan lebih utuh, kata Perdana Menteri Giorgia Meloni selepas melawat kawasan yang terjejas pada petang Ahad.

“Kerajaan dan institusi lain ambil berat, lapor agensi berita Itali (ANSA) memetik Meloni sebagai berkata kepada pemberita di Ravenna.

Meloni berkata kemusnahan akibat banjir dan tanah runtuh itu sukar dianggarkan tetapi banyak sumber perlu digerakkan untuk tujuan itu.

Meloni pulang lebih awal dari sidang kemuncak G7 di Hiroshima, Jepun, pada Sabtu untuk meninjau kerosakan akibat cuaca ekstrem di wilayah timur laut serta mengawasi operasi bantuan secara langsung.

“Selepas tindakan luar biasa oleh jabatan perlindungan awam, penguatkuasaan undang-undang, angkatan bersenjata, kini tanggungjawab kami untuk menjamin tindak balas segera,” kata perdana menteri sambil menambah Itali juga akan memanfaatkan sepenuhnya perpaduan antarabangsa ekoran bencana berkenaan.

“Semasa G7, ramai pemimpin berjanji untuk memberi bantuan yang diperlukan,” kata Meloni

Hujan lebat selepas kemarau teruk selama berbulan-bulan, merobohkan lebih 20 tebing sungai dan mencetuskan sehingga 300 tanah runtuh di wilayah berpenduduk tinggi itu, menyebabkan sekurang-kurangnya 14 orang maut dan puluhan ribu lagi hilang tempat tinggal.

Berpuluh-puluh bandar dan pekan kecil tenggelami banjir lumpur yang memaksa orang ramai meninggalkan rumah mereka manakala penyelamat terus berusaha mencari mereka yang hilang. – Bernama, 22 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen