Bekas ahli Parlimen Klang mohon maaf fitnah Zakir Naik


Bekas ahli Parlimen Klang Charles Santiago hari ini memohon maaf kepada Zakir Naik berhubung kenyataannya yang mengaitkan pendakwah itu dengan kumpulan LTTE pada 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2023.

BEKAS ahli Parlimen Klang Charles Santiago hari ini memohon maaf kepada Zakir Naik berhubung kenyataannya yang mengaitkan pendakwah itu dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Malaysiakini melaporkan Santiago membuat permohonan maaf itu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati beliau bersalah memfitnah plaintif.

Hakim Akhtar Tahir dalam keputusannya berkata kenyataan defendan berkaitan LTTE itu, yang disiarkan portal berita Free Malaysia Today dengan tajuk Criticism of Zakir Naik may have led to LTTE arrest, says MP”, adalah fitnah.

Hakim berkata Santiago tidak melakukan semakan fakta sebelum membuat kenyataan itu.

“Mahkamah mendapati walaupun kenyataan itu adalah pandangan defendan, ia adalah spekulatif dan tidak disahkan, dan tiada bukti dibawa ke mahkamah oleh defendan untuk membuktikan kebenarannya,” kata hakim.

Akhtar bagaimanapun memutuskan Zakir hanya layak menerima permohonan maaf daripada Santiago dan bukan ganti rugi kerana kenyataan berkaitan LTTE itu tidak menjejaskan imej dan reputasi plaintif.

“Kenyataan itu malah meningkatkan reputasi plaintif sebagai seseorang yang berpengaruh di Malaysia,” katanya.

Akhtar kemudian meminta Santiago memohon maaf kepada Zakir yang turut hadir di mahkamah.

Beliau kemudian bertanya kepada Zakir sama ada menerima atau tidak permohonan maaf itu.

Zakir berkata beliau menerimanya.

Pada 2019, Santiago membuat satu kenyataan mengaitkan Zakir kepada penahanan beramai-ramai 12 individu pada masa itu berhubung siasatan berkenaan LTTE.

Dalam perkara lain, mahkamah mendapati Santiago tidak memfitnah Zakir berhubung kenyataan akhbar yang lain.

Kenyataan itu adalah pada ceramah Zakir di Kelantan pada Ogos 2019, bertajuk “The Misconception of Islam Among Non-Muslims”.

Hakim mendapati kenyataan Zakir boleh “menyebabkan ancaman kepada Malaysia yang berbilang kaum, membangkitkan sentimen agama dan menimbulkan ketegangan di kalangan kita”.

Beliau juga mendapati kenyataan yang dibuat oleh Zakir di Kelantan terhadap kaum India dan Cina boleh “menyebabkan ancaman kepada Malaysia yang berbilang kaum”.

Peguam Akberdin Abdul Kader mewakili Zakir, manakala peguam SN Fam mewakili Santiago.– 22 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen