PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong diuji positif Covid-19 buat kali pertama sejak wabak itu melanda pada 2020.
“Saya diuji positif Covid-19 buat kali pertama pagi ini. Ia berlaku selepas lawatan kerja saya baru-baru ini,” kata Lee menerusi kemas kini Facebook rasminya hari ini.
Lee, 71, minggu lalu berada di Cape Town, Afrika Selatan dan Nairobi, Kenya untuk lawatan rasmi.
“Saya secara amnya berasa ok namun doktor menasihatkan saya untuk menjalani kuarantin kendiri sehingga saya tidak menunjukkan gejala. Mereka juga telah memberi saya Paxlovid, ubat antivirus, kerana umur saya,” tulis Lee.
Lee memaklumkan dos penggalak vaksin Covid-19 terbarunya adalah pada November.
“Sila pastikan vaksinasi anda dikemas kini, kerana ia mengurangkan risiko penyakit yang teruk. Memandangkan Covid-19 kekal endemik di Singapura, kita mesti terus kekal selamat dan sihat,” katanya.
Lee dalam kemas kini status Facebook juga menyertakan keputusan positif daripada kit ujian Covid-19. – Bernama, 22 Mei, 2023.
Komen