DAP akan sokong calon Umno pada PRN, kata Anthony Loke


DAP akan mengarahkan ahlinya untuk mengundi calon Umno pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Pada sidang media, beliau berkata keputusan itu untuk semua parti komponen dalam kerajaan perpaduan, di mana Barisan Nasional (BN) dan Umno adalah sebahagian daripadanya.

“Bila kita bekerjasama dalam satu gabungan, parti komponen patut sokong satu sama lain, bukannya berlawan.

“Kita tidak bertanding menentang Umno dan akan berkempen untuk satu sama lain,” katanya pada sidang media di Parlimen pagi ini.

Loke yang juga menteri pengangkutan berkata pesanan itu bukan hanya untuk DAP, tetapi tertakluk kepada semua parti komponen Pakatan Harapan (PH).

“Kita akan kempen kepada penyokong untuk turut menyokong calon BN juga,” katanya.

Pada Jumaat, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Ahmad Maslan dilaporkan menggesa penyokong Umno di enam negeri untuk mengundi calon DAP dalam usaha mengukuhkan kerajaan perpaduan.

Ahmad dipetik sebagai berkata ia sesuatu yang sesuai dilakukan kerana Umno adalah sebahagian daripada kerajaan.

Loke turut mengecam Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin yang berkata pelik apabila pemimpin Umno desak penyokong untuk undi DAP.

“DAP pernah berkempen untuk beliau di Pagoh. Kalau tidak kerana pengundi PH beri sokongan, tidak mungkin beliau menang PRU 2018.

“Mungkin beliau sudah lupa perkara itu,” kata Loke.

Sabtu lalu, Muhyiddin berkata beliau terkejut kenapa pemimpin Umno menggesa ahlinya menyokong DAP.

Beliau menyifatkan permintaan itu luar daripada kebiasaan.

“Ini pelik, jadi terpulang kepada mereka (ahli Umno) untuk mempertahankan prinsip parti atau tidak. Arahan itu janggal,” katanya kepada media pada majlis rumah terbuka di Pagoh.

Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu dijadualkan mengadakan PRN hujung tahun ini. – 22 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen