MAHKAMAH Sesyen Selayang hari ini membebaskan dua pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan daripada dua tuduhan melakukan khianat dengan melupus dan melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya ke Sungai Gong, Rawang, tiga tahun lalu.
Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Chai Kin Sang, 65, dan anaknya Chai Wern Teik, 34, di akhir kes pendakwaan.
Osman Affendi dalam penghakimannya berkata tiada keterangan menunjukkan kedua-kedua tertuduh telah melupuskan atau membuang apa-apa bahan berbahaya ke dalam alur air yang mengalir ke Sungai Gong.
“Oleh itu, mahkamah melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh tanpa dipanggil untuk membela diri,” katanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos, Sakdiyah Saleh dan Thomas Chin Shiaw Wei.
Pada 3 November 2020, dua beranak itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan tersebut dan seramai 21 saksi pendakwaan telah memberi keterangan pada perbicaraan bermula 25 Mei 2021.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua lelaki itu didakwa telah melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari premis FG Autoparts Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.
Mereka dituduh melakukan perbuatan tersebut di premis berkenaan di Batu Arang, Rawang antara 17 dan 19 Oktober 2020, mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua tertuduh juga didakwa dengan niat bersama telah melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari bengkel serupa ke dalam alur air yang akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesan bau abnormal pada sumber air mentah di Sungai Selangor pada 12.38 pagi 19 Oktober 2020, menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras 3 TON (ukuran kadar bau).
Media sebelum ini melaporkan henti tugas keempat-empat loji itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. – Bernama, 22 Mei 2023.
Komen