Persidangan ke-76 Kesihatan Sedunia bermula


WHA ke-76, yang bermula di Geneva semalam, memberi tumpuan kepada usaha menyelamatkan nyawa serta memacu kesihatan untuk semua, kata WHO. – Gambar AFP, 22 Mei, 2023.

PERHIMPUNAN Kesihatan Sedunia (WHA) ke-76, yang bermula di Geneva semalam, memberi tumpuan kepada usaha menyelamatkan nyawa serta memacu kesihatan untuk semua, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan, lapor Xinhua.

Memandangkan 2023 merupakan ulang tahun ke-75 WHO, WHA tahun ini akan menentukan masa depan organisasi itu untuk tempoh segera dan jangka panjang, bermula dengan program belanjawan untuk dua tahun akan datang yang merupakan keputusan penting dalam pembiayaan mampan dan perubahan untuk menambah baik proses dan akauntabiliti WHO.

Sepanjang mesyuarat 10 hari itu, perwakilan akan membincangkan peranan kritikal WHO dalam Rangka Bina Kecemasan Kesihatan Global. Perhimpunan itu juga akan mengkaji kemajuan, pencapaian dan cabaran tahun lepas dan keutamaan masa depan merentas tonggak utama kerja WHO iaitu Perlindungan Kesihatan Sejagat, Kecemasan, Mempromosi Kesihatan dan Kesejahteraan.

“Keamanan bergantung kepada kesihatan, penyakit dalam satu negara berbahaya kepada semua, dan untuk mencapai kesihatan terbaik untuk semua orang di mana saja bergantung kepada kerjasama,” kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dalam ucapan video pada majlis perasmian perhimpunan itu.

Sejak penubuhan WHO 75 tahun lepas, taraf kesihatan manusia telah meningkat secara mendadak, kata Guterres, sambil menambah jangka hayat global meningkat lebih 50%, kematian bayi menurun 60% dan cacar berjaya dihapuskan.

“Pandemik Covid-19 berhenti dan kemajuan dalam kesihatan awam kembali pulih. Kami berhadapan risiko terhakisnya manfaat besar yang diperoleh dalam beberapa dekad lalu dan tersasar daripada Matlamat Pembangunan Mampan,” kata Guterres.

Namun, katanya ini bukannya tidak dapat dielakkan sambil meminta semua pihak supaya terus bekerjasama dan menyokong WHO dalam mencapai standard kesihatan tertinggi untuk semua.

Sementara itu, Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus mengimbas kembali pencapaian utama yang telah direalisasikan oleh organisasi itu sepanjang 75 tahun lalu.

Tedros berkata organisasi itu berhadapan cabaran yang kompleks memandangkan jangkaan dunia terhadap WHO berkembang dengan pesat.

“Jalannya berliku-liku dan bergelora, namun destinasinya pasti,” katanya. – Bernama, 22 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen