Zahid patut utamakan komponen BN, bukan DAP, kata MCA


Kerjasama antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan perlu ada timbal balas dan menguntungkan kedua-dua pihak, kata Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei 2023.

AHMAD Zahid Hamidi mesti berpegang kepada prinsip Barisan Nasional (BN) dan berhati-hati dalam semua perkara berkait hubungan atau kerjasama gabungan itu dengan Pakatan Harapan (PH), kata Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon.

Zahid selaku pengerusi BN juga diingatkan supaya menjaga kepentingan dan mengutamakan parti-parti komponen dalam BN, bukannya mengutamakan PH terutamanya DAP, tambahnya.

“Kerjasama antara BN dan PH perlulah ada timbal balas dan menguntungkan kedua-dua pihak,” kata Chong dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Zahid yang juga presiden Umno dua hari lepas, bahawa usaha untuk memujuk ahli Umno dan MCA  menyokong calon DAP pada pilihan raya negeri (PRN) tidak mustahil untuk dilakukan walaupun sukar.

“Dulu pengundi BN memberi sokongan kepada calon MCA dan MIC. 

“Untuk itu, kita akan gunakan keadah yang sama bukan atas nama parti, tetapi atas rasa kebersamaan dalam kerajaan perpaduan,” katanya seperti dilapor media.

Dalam kenyataannya hari ini, Chong selain itu menegaskan apa sahaja pendirian dan pandangan MCA mestilah dikeluarkan oleh pemimpin parti itu, bukannya pihak lain. – 22 Mei 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen