10 maut akibat taun di Afrika Selatan


Seramai 10 maut di Pretoria, Afrika Selatan akibat taun, kata pihak berkuasa kesihatan sambil menggesa orang ramai meningkatkan langkah berjaga-jaga. – Gambar AFP, 22 Mei, 2023.

WABAK taun menyebabkan sekurang-kurangnya 10 maut di kawasan Pretoria, ibu negara Afrika Selatan, kata pihak berkuasa kesihatan sambil menggesa orang ramai meningkatkan langkah berjaga-jaga.

Jabatan Kesihatan Wilayah Gauteng, Pretoria berkata 95 individu mendapatkan rawatan di hospital tempatan sejak Isnin lalu dan menunjukkan gejala taun, termasuk cirit-birit, kekejangan perut dan loya.

Ujian makmal mengesahkan sekurang-kurangnya 19 kes taun, kata jabatan itu dalam satu kenyataan, sambil menambah 37 masih menjalani rawatan.

Mangsa yang maut termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

Ketua kesihatan wilayah, Nomantu Nkomo-Ralehoko berkata kakitangan tambahan, termasuk pegawai perubatan dan jururawat digerakkan bagi menangani wabak itu yang berpusat di Hammanskraal, sebuah kawasan di utara Pretoria.

“Kami ingin mengulangi dan menggesa orang ramai untuk mengelakkan makanan, air dan permukaan yang diketahui atau disyaki tercemar dan mencuci tangan dengan bersih dengan sabun sebelum mengendalikan makanan atau selepas menggunakan bilik mandi,” kata Nkomo-Ralehoko.

Taun disebabkan bakteria yang biasanya disebarkan melalui makanan atau air tercemar.

Terdahulu, pihak berkuasa di Pretoria menggesa penduduk Hammanskraal dan kawasan sekitarnya supaya tidak minum air terus dari paip.

Taun mengalami kebangkitan global sejak 2021 selepas sedekad penurunan yang berterusan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang minggu ini memberi amaran kepada satu bilion orang di 43 negara berisiko. – AFP, 22 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen