Ketua WHO harap perjanjian pandemik jadi titik sejarah


Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata rundingan perjanjian pandemik baharu perlu menjadi 'perjanjian bersejarah' sebagai peralihan dramatik dalam pendekatan terhadap keselamatan kesihatan global selepas krisis Covid-19. – Gambar AFP, 22 Mei 2023.

RUNDINGAN perjanjian pandemik baharu perlu menjadi “perjanjian bersejarah” yang menandakan peralihan dramatik dalam pendekatan terhadap keselamatan kesihatan global selepas krisis Covid-19, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kita tidak boleh lagi teruskan kehidupan seperti sebelum ini,” kata ketua pengarahnya Tedros Adhanom Ghebreyesus ketika berucap pada perhimpunan tahunan WHO di Geneva pada Ahad.

Negara-negara anggota WHO sudah pun memulakan rundingan bagi bertujuan memastikan dunia lebih bersedia untuk mencegah atau bertindak balas dengan lebih berkesan apabila sesuatu wabak melanda pada masa depan.

Rundigan tersebut itu masih di peringkat awal, namun matlamatnya adalah untuk mencapai persetujuan menjelang Perhimpunan Kesihatan Sedunia pada Mei 2024.

“Menyedari nasib kita saling berkait antara satu sama lain, perjanjian pandemik yang sedang dirundingkan mesti menjadi perjanjian bersejarah bagi mewujudkan anjakan paradigma dalam keselamatan kesihatan global.

“Saya berharap rundingan mengenai pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap pandemik ini akan menghasilkan pendekatan pelbagai hala yang menyelamatkan nyawa manusia,” kata Tedros menerusi video.

Sementara itu, Presiden Timor-Leste Jose Manuel Ramos-Horta berkata, “Setiap negara, besar atau kecil, kaya atau miskin, bergelut untuk meningkatkan tindak balas yang mencukupi terhadap wabak.”

“Ini sebagai peringatan bahawa kita mesti membina rumah sebelum ribut, bukan ketika ribut,” katanya. 

Pandemik Covid-19 secara rasmi mengorbankan hampir tujuh juta orang di seluruh dunia, dengan angka sebenar dipercayai hampir 20 juta.

Awal bulan ini, Tedros mengisytiharkan krisis Covid-19 tidak lagi menjadi kecemasan kesihatan global. – AFP, 22 Mei 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen