MISI persendirian kedua ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) anjuran Axiom Space berlepas dari Florida pada Ahad, membawa dua angkasawan pertama Arab Saudi ke makmal orbit.
Penyelidik kanser payudara Rayyanah Barnawi menjadi wanita Arab Saudi pertama berlepas ke angkasa lepas. Misi itu turut disertai rakan senegaranya, Ali Al-Qarni, seorang juruterbang pejuang.
Kru Axiom Mission 2 (Ax-2) berlepas menaiki roket SpaceX Falcon 9 dari Pusat Angkasa Kennedy di Cape Canaveral, Florida pada pukul 5.37 petang Ahad (2137 GMT).
Berlepas bersama dua angkasawan Arab Saudi tersebut adalah bekas angkasawan NASA Peggy Whitson yang akan membuat penerbangan keempatnya ke ISS, dan John Shoffner, ahli perniagaan dari Tennessee yang bertindak sebagai juruterbang.
Kru Axiom Mission 2 (Ax-2) akan menghabiskan masa kira-kira 10 hari di ISS, di mana mereka dijangka tiba sekitar jam 9.25 pagi Isnin.
Empat angkasawan berkenaan akan menjalankan kira-kira 20 eksperimen semasa berada di ISS, antaranya kajian ke atas sel stem dalam ruangan graviti sifar.
Ini bukan kali pertama angkasawan Arab Saudi menyertai misi ke angkasa lepas.
Pada 1985, Putera Sultan Salman Abdulaziz, seorang juruterbang tentera udara, mengambil bahagian dalam pelayaran angkasa lepas anjuran Amerika Syarikat.
Program untuk menghantar angkasawan ke angkasa lepas dilancarkan tahun lalu oleh Suruhanjaya Angkasa Arab Saudi. – AFP, 22 Mei 2023.
Komen