LIMA pelajar Tingkatan 5 institusi pendidikan menengah di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Balik Pulau, Pulau Pinang ditahan untuk membantu siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar Tingkatan 3 sekolah berkenaan, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Kamarul Rizal Jenal berkata, semua remaja lelaki berumur 17 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas pihaknya selesai mengambil keterangan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan, kejadian pada jam 11 malam itu dipercayai berlaku kerana mangsa turun lewat untuk menunaikan solat Subuh dan pelajar terbabit mengalami luka di badan selepas dipukul kumpulan senior itu.
Mangsa dikatakan memaklumkan kepada ayahnya berhubung kejadian sebelum lelaki itu membuat laporan polis. – Bernama, 21 Mei, 2023.
Komen