Dr Zaliha bentang komitmen digitalkan sistem penjagaan kesihatan di Geneva


Dr Zaliha Mustafa menghadiri Persidangan Kesihatan Sedunia di Geneva, Switzerland hingga 30 Mei ini. – Gambar Facebook Dr Zaliha Mustafa, 21 Mei, 2023.

MENTERI Kesihatan Dr Zaliha Mustafa membentangkan komitmen Malaysia untuk mendigitalkan sistem penjagaan kesihatan negara dan pendekatan berasaskan data pada Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan Komanwel (CHMM) di Geneva, Switzerland pada Sabtu.

Beliau berkata komitmen itu dinyatakan bagi meningkatkan taraf perkhidmatan kesihatan di negara ini.

“Sesi seterusnya menyentuh hal terkait kesediaan menghadapi pandemik, dengan penekanan khusus terhadap mempromosikan kesaksamaan pembangunan produk kesihatan dan teknologi,” katanya dalam hantaran menerusi Facebooknya.

Dr Zaliha yang berada di Geneva untuk menghadiri mesyuarat itu dan Persidangan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-76 berkata beliau turut membincangkan iltizam negara-negara anggota untuk mencapai Kesihatan Sejagat (UHC) menjelang 2030.

Beliau turut menegaskan peranan mustahak Penjagaan Kesihatan Primer bagi mencapai Kesihatan Sejagat pada WHA yang berlangsung bermula hari ini hingga 30 Mei itu.

Dr Zaliha turut menyeru menteri kesihatan Komanwel untuk memberikan insentif berbentuk penstrukturan cukai, pembiayaan penyelidikan dan pembangunan serta kerjasama strategik bersama pihak berkepentingan bagi menggalakkan perkembangan industri pembuatan tempatan di negara masing-masing.

“Nantikan perkembangan dari semasa ke semasa delegasi kementerian kesihatan di Geneva, demi rakyat dan sistem kesihatan Malaysia yang lebih baik,” katanya. – Bernama, 21 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen