KERAJAAN akan memansuhkan penggunaan alat timbang neraca sepenuhnya dalam tempoh setahun dari sekarang dan akan digantikan dengan alat penimbang elektronik, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub.
Beliau berkata pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dan pihak penguat kuasa berhubung keputusan kerajaan itu.
“Pada masa ini, hanya 25% alat timbang elektronik digunakan di seluruh negara dan KPDN turut merancang untuk mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pelbagai pihak, bagi mengatasi isu berkaitan timbang dan sukat ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Metrologi Sedunia di Putrajaya, hari ini.
Salahuddin berkata dalam proses melaksanakan penggunaan penimbang baharu itu, kerajaan akan turut memberi perhatian terhadap isu berkaitan kecukupan bekalan dan harga alat, bagi memberi masa kepada peniaga mendapatkan alat timbang itu.
Beliau berkata KPDN meneliti dan melantik beberapa syarikat untuk membekalkan alat penimbang elektronik.
Sempena Hari Metrologi itu, penganjur sambutan De Metrology Sdn Bhd menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai Most Measuring Instruments kerana mencatat 3,197 jumlah verifikasi alat timbang dan sukat paling banyak dalam tempoh sehari pada 16 Mei lalu. – Bernama, 21 Mei, 2023.
Komen