Sabah bentang RUU antilompat parti pada Sidang DUN, kata Hajiji


Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata RUU pindaan perlembagaan negeri memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli DUN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2023.

KERAJAAN Sabah akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) antilompat parti pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selama empat hari bermula esok, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

Beliau yang menangkis dakwaan pembangkang berkata, kerajaan negeri bukannya sengaja mahu menangguhkan pembentangan RUU berkenaan dengan tujuan untuk mengekang wakil rakyat negeri itu daripada menyokong pihak lain.

Beliau berkata, RUU itu membabitkan pindaan terhadap perlembagaan negeri, serta memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri Sabah sebelum ia boleh dibentangkan pada Sidang DUN.

“Jadi, tidak benar seperti dakwaan pembangkang kita sengaja melengah-lengahkannya. Kita kena patuhi prosedur,” katanya dalam ucapan perasmian mesyuarat prapersidangan di Kota Kinabalu, hari ini.

Ketua menteri berkata RUU pindaan perlembagaan negeri memerlukan sokongan majoriti dua pertiga daripada ahli DUN sebelum dapat diluluskan.

“Saya yakin RUU itu akan mendapat sokongan penuh daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan ahli Pakatan Harapan. Saya juga menggesa wakil pembangkang menyokong RUU itu, kerana mereka juga menyokong rang undang-undang antilompat parti diluluskan di Sabah,” katanya.

RUU pindaan perlembagaan negeri adalah antara empat RUU yang akan dibentangkan dalam mesyuarat pertama penggal keempat Sidang DUN dari 22 hingga 25 Mei. – Bernama, 21 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen